Sunday, October 04, 2015

RM9.95 : Nilai Perpindahan Bobby Chua ke Sarawak F.A


Bekas pemain bolasepak, Bobby Chua Kim Lun menyertai pasukan Sarawak secara rasmi apabila menandatangani kontrak pada Februari 1998, beliau dilepaskan oleh pasukan asalnya, Sabah dengan nilai RM9.95. Nilai yuran perpindahan tersebut mencetuskan kontroversi kerana ianya merpakan nilai paling rendah bagi yuran perpindahan dalam Liga Malaysia pada ketika itu. Pasukan asalnya, Sabah dikatakan sengaja meletakkan nilai berkenaan sebagai tanda marah dan tidak rela dengan tindakan Bobby menyertai pasukan jiran borneo itu.
FAM melalui presidennya sendiri melahirkan rasa kesal dengan tindakan Persatuan Bolasepak Sabah, dan beranggapan tindakan itu sebagai sengaja mahu memalukan pemain berkenaan. Bobby Chua sendiri melahirkan rasa tidak senang dengan nilai yang diletakkan oleh Persatuan Bolasepak Negeri Sabah keatas dirinya, apatah lagi mengenangkan khidmatnya selama 8 tahun bersama skuad badak itu.
Seorang lagi pemain Sabah, Jelius Ating sepatutnya menyertai pasukan Sarawak bersama Bobby, namun pemain berkenaan bertukar fikiran dan kekal bersama Sabah. Malangnya, Jelius sebelum itu telah menandatangani kontrak untuk kekal bersama Sabah sebelum bersama-sama Bobby Chua menurunkan tandatangan untuk menyertai Sarawak. Tindakan Jeliau Ating ini merupakan satu pelanggaran undang-undang dan beliau akhirnya menerima padah apabila digantung selama 3 bulan oleh Jawatankuasa Status Pemain (PSC) dibawah FAM. 
Nilai kontroversi itu ternyata tidak melemahkan semangat Bobby, musim kedua beliau bersama Sarawak menyaksikan pasukan tersebut berjaya melangkah ke Perlawanan Akhir Piala Malaysia sebelum tewas kepada Brunei dengan jaringan 2-1

Rujukan:

______(16 Februari 1998). Sabah F.A want only RM9.95 for Chua. New Straits Times.

Mohd Raji Abdullah (20 Februari 1998). Nilai RM9.95 bakar semangat Bobby, Berita Harian.

Muhd Yusof Abu Bakar (16 Februari 1998). Nilai Bobby Chua hanya RM9.95, Berita Harian.

Sariha Mohd Ali (22 Februari 1998). FAM kesal Sabah letak harga RM9.95, Berita Harian.

Vijesh Rai (24 Februari 1998). Errant Jelius gets three-months ban, New Straitst Times.

No comments: