Saturday, October 03, 2015

Jalan Othman: Disebalik nama dan ITM 'Generasi J.O'

Oleh: Harith Faruqi Sidek


Jalan Othman yang terletak di Petaling Jaya dinamakan sempena nama Menteri Besar Selangor Ketiga, Dato’ Othman Mohamed. Dato’ Othman menjadi Menteri Besar Selangor mulai Mac 1953 sehingga September 1954. Beliau dilantik menjadi Menteri Besar setelah penyandang terdahulunya, Raja Tun Uda Raja Muhammad dilantik menjadi Pesuruhjaya Malaya di London, dan pada ketika itu Dato’ Othman merupakan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Kedua pemimpin ini kemudiannya bertukar jawatan semula sebaik Raja Tun Uda menamatkan perkhidmatannya sebagai Pesuruhjaya di London, beliau kembali dilantik menjadi Menteri Besar Selangor, sementara Dato’ Othman pula menggantikan beliau sebagai Pesuruhjaya Malaya ke London. 
Sewaktu menjadi Menteri Besar Selangor, Dato’ Othman pernah melalui peristiwa cemas, dimana beliau terselamat daripada serangan hendap oleh komunis di Bukit Fraser pada tahun 1953. Pada ketika itu beliau sedang bercuti di kawasan tanah tinggi berkenan. Serangan hendap terancang itu walaubagaimanapun sempat dipatahkan oleh pasukan keselamatan, Dato’ Othman dibawa meninggalkan Bukit Fraser dengan diiringi pasukan keselamatan lengkap dengan kereta perisai. Berdasarkan maklumat yang diperolehi oleh pasukan keselamatan, tiada bukti yang menunjukkan serangan berkenaan ditujukan kepada Menteri Besar Selangor itu, dan kehadiran Dato’ Othman di Bukit Fraser juga mungkin tidak disedari oleh pihak komunis.
Dato’ Othman juga menganggotai jawatankuasa penyatuan kerajaan persekutuan dengan Singapura dibawah usaha yang dikenali sebagai ‘Satu Malaya’ (One Malaya) pada tahun 1953. Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Tinggi, Malcolm McDonald ini melibatkan dua kumpulan perwakilan, iaitu wakil kerajaan Persekutuan dan kumpulan perwakilan dari Singapura, kedua kumpulan ini membincangkan perkara-perkara kearah persetujuan percantuman dua gugusan ini. Dato’ Othman, selaku Menteri Besar Selangor menganggotai perwakilan kerajaan persekutuan bersama-sama dengan pemimpin besar lain antaranya Dato Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan Tun H.S Lee.
Jalan Othman sememang tidak asing bagi warga ITM, kerana disinilah lahirnya generasi awal yang dikenali sebagai ‘Generasi Jalan Othman’ atau singkatannya ‘J.O’. Antara yang pernah menjadi ‘Generasi Jalan Othman’ yang terawal ialah graduan dalam bidang Perakaunan, Perundangan, Pentadbiran Awam, Pengurusan Perniagaan, Sains Gunaan dan Teknologi, Kejuruteraan, Sains Aktuari, Sains Komputer dan Sains Perpustakaan. Dikalangan lepasan Sains Perpustakaan (kini Pengurusan Maklumat), Generasi Jalan Othman ini merupakan ‘Super Senior’. Kajian Sains Perpustakaan mula diperkenalkan pada tahun 1968 di Kampus Jalan Othman, sewaktu mula diperkenalkan, jabatan ini diletakkan dibawah Kajian Pentadbiran Awam dan Undang-Undang serta menawarkan Kursus kelayakan professional dalam bidang Sains Perpustakaan, iaitu Associationship Library Association, United Kingdom atau A.L.A - UK. Jabatan ini kemudiannya dinaiktaraf menjadi Kajian Sains Perpustakaan pada tahun 1970 dan beroperasi di Kampus Jalan Othman selama 18 tahun (1968 -1972, 1979 – 1993) secara kumulatifnya sebelum berpindah ke Kampus Shah Alam. 
Pengenalan Jabatan Sains Perpustakaan ini telah memberi impak yang besar kepada bidang kepustakawanan di Malaysia, kerana sebelum ia diperkenalkan, hanya terdapat 35 orang pustakawan sahaja di Malaysia yang mempunyai kelayakan ikhtisas. (Hedwig Anwar, 1968). 

Rujukan:
____ (19 June 1949). New Mentri Besar. The Straits Times
____ (2 September 1954). The Raja Muda says goodbye to the new London Comissioner. New Straits Times.
____ (4 September 1954). New Road – Jalan Othman. New Straits Times.
____ (18 Disember 1968). Institut Teknoloji Mara ambil 1,000 pelajar lagi . Berita Harian.
____ (12 May 1953). The First Step to 'One Malaya'. The Straits Times.
____ (25 Disember 1953) Captured plans show plot for ambush on Fraser's Hill : Mentri Besar, Watherston were likely victim. The Straits Times.
____ (27 Ogos 1998). Sains Perpustakaan imejnya sukar dikikis. Utusan Malaysia.
Faculty of Information Management at http://fim.uitm.edu.my/v1/index.php/faculty/history (diakses pada 29 September 2015).
Hedwig Anuar.(1968) Blueprint for Public Library development in Malaysia. Persatuan Perpustakaan Malaysia.

No comments: