Tuesday, July 16, 2013

Kisah Sate Ria suatu masa dahulu...

Oleh: Harith Faruqi Sidek


Logo Sate Ria

Nama Restoran Sate Ria suatu ketika dahulu amat masyur sekitar 80an hingga awal 90an, perniagaan ini mampu dikembangkan menjadi perniagaan secara francais yang lebih maju berbanding perniagaan makanan segera yang lain pada ketika itu seperti Kentucky Fried Chicken (KFC), Shakey’s Pizza dan White Castle Hamburger. Secara kebetulan, perniagaan makanan segera luar negara berkenaan juga berada dibawah satu payung pengurusan yang sama, iaitu Innovest Food Chain Sdn. Bhd. Namun badai yang melanda syarikat induk itu pada tahun 1992 telah menjejaskan perniagaan makanan segera yang dinaunginya. (Lokman Mansor, 1999).
Restoran Sate Ria yang popular sekitar tahun 80an.

Menurut laporan Berita Harian bertarikh 2 Januari 1989, Sate Ria Sdn. Bhd. pada mulanya merupakan anak syarikat Mara Holding, dan ketika dibawah pengurusan ini, Sate Ria berada di zaman emasnya. Berpuluh cawangan restoran dalam dan luar negara dibuka, dibantu pula dengan skim pinjaman perniagaan sehingga RM8,000 untuk pada graduan bagi memulakan perniagaan Sate Ria. Harga sate yang ditawarkan kepada pengusaha adalah 15 sen dan mereka dibenarkan menjual dengan harga diantara 15 sen hingga 30 sen secucuk.( NST, 17 Ogos 1987).

Iklan Sate Ria di akhbar.
Sate Ria juga telah mengembangkan sayap perniagaanya hingga ke luar negara, bermula dengan Singapura dan kemudiannya ke eropah. Pada tahun 1987, cawangannya di London telah dibuka dan mencatatkan penjualan purata sehingga $100,000 sebulan, malah syarikat ini juga telah melabur dengan memperolehi mesin yang boleh menghasilkan 400 cucuk sate sejam (NST, 4 Ogos 1987). Sate Ria kemudiannya  turut menambah cawangannya di luar negara, antaranya Korea Selatan, New Zealand, German, Canada dan Australia.

Restoran Sate Ria cawangan Orchard Road
Satu lagi cawangan Sate Ria yang dibuka di Changi Road, Singapura.
Sinar yang ada sewaktu mula berpindah milik dibawah pengurusan Innovest Bhd pada tahun 1988 tidak kekal lama, meskipun syarikat ini berjaya membawa Sate Ria menembusi pasaran di Canada, German dan Australia.  Pada masa yang sama, pemindahan ini juga memberi impak kepada rangkaian restoren Sate Ria, ada diantaranya telah bertindak keluar dari kontrak asal, maka muncullah restoran Sate Ria Singapura yang dimiliki oleh Haji Jalil Haron misalannya. 

Status  cap dagangan Sate Ria di Australia

Status Sate Ria di New Zealand
Pada tahun 2008, syarikat ini dikatakan cuba bangkit semula iaitu dengan kemunculan restorannya di Shah Alam, malah turut menyertai pameran Francais International Malaysia di PWTC pada tahun yang sama dan Malaysian International Food & Beverages Trade Fair (MIFB) pada tahun 2009 di PWTC.


Rujukan:



City Hall to help jobless: grads get business sites, News Straits Times, 18 Jun 1987.

Dewani Abbas. Sate Ria tak terjejas dengan pembekuan harta Lorrain, Berita Harian. 19 Januari 1985

Intellectual Property in Australia. Access at http://www.ipaustralia.com.au/applicant/innovest-food-chain-sdn-bhd/trademarks/427884/ ( access date: 16 July 2013).

Kedai francais ala7-Eleven diperkenal, Utusan Malaysia, 24 Julai 1997

Lokman Mansor. Franchise industry set to gain from world meet, Business Times, 24 Mei 1999

Mafoot Simon. Sate: S'pura jadi pusat cubaan utk perluasan, Berita Harian, 6 Januari 1984

Malay Teachers celebrate after clinching satay franchise, The Straits Times, 7 Oktober 1984

Restoran Guru akan berimej baru, Berita Harian, 12 Januari 1986

Sate Ria a hit in London with $100,000 monthly sales, News Straits Times, 4 Ogos 1987

Sate Ria for Terengganu, News Straits Times, 19 Oktober 1987.

Sate Ria opens outlet in Seoul, New Sunday Times, 12 Jun 1988.

Sate Ria spreads its wing to Canada, News Straits Times, 28 Mei 1990

Sate Ria takes its satay to the stalls, News Straits Times, 17 Ogos 1987

Sate Ria Trademark. Trademarkify, access at http://www.trademarkify.com.au (access date 16 July 2013)

Sate Ria to open outlets in Australia, The News Straits Times, 8 April 1988

Tuminah Sapawi. Firma setempat ambil alih penuh Sate Ria, Berita Harian, 2 Januari 1989

 



Thursday, July 04, 2013

Ishak Osman,kakitangan UKM jadi penduduk terawal Bandar Baru Bangi.

Oleh: Harith Faruqi Sidek

Encik Ishak Osman

Bandar Baru Bangi mula dibuka secara rasmi kira-kira 40 tahun yang lalu, ianya dibangunkan sejajar dengan pembangunan kampus tetap Universiti Kebangsaan Malaysia yang ditubuhkan pada 18 Mei 1970 dan beroperasi di kampus sementara di Lembah Pantai, UKM kemudiannya berpindah ke kampus tetap di Bangi mulai tahun 1977. Bandar Baru Bangi asalnya merupakan kawasan ladang kelapa sawit yang dikenali sebagai West Country Estate. Kawasan ini kemudiannya telah diambil alih oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor untuk dibangunkan. Bandar Baru Bangi boleh diibaratkan sebagai 'adik' kepada Bangi lama yang telah dibuka lebih awal, iaitu kira-kira 96 tahun lalu.


Penduduk Awal

Sewaktu UKM dibangunkan, tapak kampus ini didiami oleh suku kaum asal dari keturunan Temuan, suku kaum ini dipercayai telah wujud lebih lama dari tarikh penerokaan kawasan Bangi lama. Namun, apabila Bandar Baru Bangi dibuka, kumpulan penduduk terawal yang berhijrah secara tetap ke Bandar Baru Bangi adalah dikalangan kakitangan terawal UKM. Dikalangan kumpulan ini, yang pertama berhijrah ke Bandar Baru Bangi ialah Encik Ishak Osman.Mengikut catatan dalam buku log pekerja UKM, Encik Ishak Osman merupakan kakitangan UKM yang kelima terawal didaftarkan, iaitu dengan nombor pekerja 0005 dan jawatan hakiki sebagai Tukang Kayu di Unit Pembangunan.

Nama Encik Ishak Osman (No. Pekerja 0005) dalam buku daftar pekerja Universiti Kebangsaan Malaysia.


Pengalaman sebagai 'orang Bandar Baru Bangi' yang terawal.

Dalam laporan News Straits Times bertarikh 22 Disember 1987, Ishak Osman telah berkongsi pengalaman beliau sewaktu mula-mula menjejak kaki di Bandar Baru Bangi. Menurut beliau, sebelum berpindah masuk ke kediaman yang terletak di jalan1/2C, Seksyen 1, Bandar Baru Bangi pada pada 1 Disember 1977, beliau sekeluarga tinggal di Kampung Kerinchi.

Jalan 1/2C yang terletak di Seksyen 1, Bandar Baru Bangi

Tanda jalan 1/2C, kawasan perumahan terawal di Bandar Baru Bangi.

Perkara pertama yang beliau lakukan setelah berpindah ialah menaiki basikal disekitar kawasan kediamannya dengan harapan akan bertemu dengan penduduk lain, malangnya tidak seorang pun yang beliau temui. Suasana persekitaran yang pada ketika itu masih dipenuhi hutan belantara serta tanpa kemudahan elektrik menyebabkan beliau sangat gusar memikirkan keselamatan dirinya sekeluarga.

Menurut Ishak lagi, beliau akan memastikan setiap tingkap dan pintu rumahnya dikunci rapi seawal jam 7 malam lagi, ini kerana pada ketika itu suasana sudah mulai gelap dan beliau bimbang akan keselamatan keluarganya. Perkara ini berlarutan selama seminggu, sebelum penduduk lain mulai beransur pindah ke kawasan tersebut. Meskipun begitu, bekalan elektrik masih belum dibekalkan oleh pemaju, lalu penduduk disitu terpaksa menggunakan lampu kerosin untuk tempoh beberapa bulan sehinggalah mereka mendapat bekalan elektrik pada sekitar bulan mac 1978.

Pengangkutan awam merupakan satu lagi masalah asas yang dihadapi oleh para penduduk awal di Bandar Baru Bangi, kebanyakkan mereka tidak mempunyai kenderaan sendiri, lalu terpaksa berjalan kaki berbatu-batu jauhnya untuk sampai ke perhentian bas bagi meneruskan perjalanan menghantar anak ke sekolah dan ketempat kerja.

Sebagai menghargai serta mengiktiraf beliau sebagai penduduk terawal Bandar Baru Bangi, Ishak Osman telah diberi penghargaan oleh Menteri Besar Selangor pada ketika itu, Datuk Muhammad bin Muhammad Taib sewaktu perayaan ulangtahun ke-10 Bandar Baru Bangi pada 21 Disember 1987.

Perancangan pembangunan 'Bandar Universiti' oleh PKNS yang diiklankan pada tahun 1983. (NST,16 Jun 1983)


Rujukan:

Elusive Dreams. The News Straits Times. 26 Oktober 1987,p.2.

First Man to Settle in. The News Straits Times. 22 Disember 1987,p.2.

Harith Faruqi Sidek. Sejarah Penubuhan UKM: Pencarian Kakitangan Perintis. Buletin ILHAM. Bil.13/2013.p.9